Monday, May 14, 2012

Di Bawah Pohon Rendang.

Rutin harian pergi dan balik ke tempat kerja dah jadi suatu kebiasaan yang menimbulkan rasa selesa. Tolak ke tepi penat memanjat tangga dan bukit. Boleh saja itu menjadi senaman ringkas setiap hari. 

Dengan keselesaan itu, berada di dalam pejabat berhawa dingin, saya bersyukur. Pernah suatu hari ketika hendak pulang ke rumah, mata yang dua ini tertancap pada satu figura. Duduk di tepi jalan, dikelilingi kasut. Khusyuk menggilap sepasang kasut hitam. Tertera di atas sepohon pokok rendang "Klinik Kasut". Haha. Tersenyum saya seorang waktu itu. Ya. Figura itu seorang doktor. Doktor kasut. Kelulusan tinggi tak perlu, hanya experience saja yang penting. Tak perlu bersusah payah mengemaskini resume. Untung bukan? 

Alhamdulillah. Biarlah keringat bermula dan mungkin juga berakhir di tepi jalan di bawah pohon rendang, ia halal. Doktor kasut, berapa ramai yang layak menyandangnya? Executive syarikat, senior engineer mahupun CEO. Kalau kasut kesayangan tapaknya carik, bukankah ke Doktor kasut juga yang dicarinya? Baru saja saya menghantar sepasang kasut pada Doktor kasut untuk dibaiki. Pantas, murah dan kemas kerjanya! 

Tapi kalau hujan, kelibat Doktor kasut tak kelihatan. Ya lah. Klinik beliau hanya berteduhkan sepohon pokok yang daunnya pun tidak dapat menghalang titisan hujan. Saya terfikir, "Terjejaskah punca pendapatan pakcik itu pada hari ini?" Tapi Doktor kasut tetap kembali pada hari esoknya. Menyambung kerjanya merawat kasut-kasut yang dihantar ke kliniknya. Mukanya hitam manis, barangkali kerana sering berada di bawah sinaran matahari terik. Nampak riang, peramah juga. 

Maaf. Gambar diambil melalui kamera telefon saja. 


Hmm. Saya fikir, pakcik itu juga seorang doktor. Saya ni doktor apa pula? 

No comments:

Post a Comment