Tuesday, May 15, 2012

Nasi Lemak dan Hari Nakbah.

Pagi ini cerah, nyaman. Masuk saja pejabat terus on laptop. Kaki melangkah ke bilik meeting. Nasi lemak lauk paru yang dibeli awal-awal tadi mula dibuka dan dimakan. Sedap. Memang sedap! Dah kenyang makan pagi baru senang hati nak mulakan kerja. Hehe.

Bismillah.

Laptop yang on sedari tadi mula dibuka satu persatu window dan folder yang ada. Tiada email baru yang masuk. FB pula dibuka. Teliti apa yang ada di Newsfeed. Hmm. Ada sesuatu yang menarik perhatian. Nampak rakan-rakan di FB mula menukar profile picture berwarna coklat. Ada apa ya? Hari tu penuh dengan warna kuning. Kali ni coklat pula. Seorang rakan FB meletak status "15 May 1948". Ada juga yang publish tentang Hari Nakbah.

Sekejap.

Hari Nakbah itu apa? Waktu itu juga jari-jemari rancak menaip Hari Nakbah.

Selama 20 tahun lebih hidup, baru hari ini tahu tentang Hari Nakbah. Ya Allah. Banyak lagi perkara yang saya tidak tahu. Apatah lagi ilmu-ilmu agama yang lain. Hmm.

Memetik kata Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre:

"Hari ini Hari Nakbah. Tahukah anda apa dia Hari Nakbah? Ia diperingati oleh rakyat Palestin, orang Arab dan pejuang Islam seluruhnya, sejak 1948, sebagai memperingati hari rakyat Palestin dihalau dan dibantai beramai-ramai dari negara mereka sendiri. Yaumunnakbah ini kalau diterjemahkan maknanya: Day Of The Catastrophe, menggambarkan betapa dahsyatya peristiwa tersebut. Mari sama-sama kita juga mengingati peristiwa-peristiwa ini untuk sama-sama memacu perjuangan Islam ke hadapan"

Tak banyak yang boleh saya lakukan. Tapi saya tahu saya boleh wujudkan awareness itu, walau sedikit. Saya di sini kenyang pagi petang siang malam. Nasi lemak boleh beli hari-hari. Tapi mereka di sana?

Sesungguhnya segala yang baik datang dariNya. Segala yang buruk itu datangnya dari saya yang banyak kekhilafan.

Monday, May 14, 2012

Burger Panggang.

Hari itu kereta dihantar servis. Maklumlah hujung minggu tu nak bertolak ke selatan, ada walimah kawan. Buatnya kereta rosak di tengah jalan, tidak kah naya nanti. Ilmu automotif memang sangat terhad. Hanya tahu drive pulas stering saja.

Lalu balik kerja pada hari tu, perkhidmatan teksi sangat diperlukan. Mudah saja nak dapatkan teksi di stesen Putra LRT. Seraya masuk ke dalam teksi, pakcik teksi bertanyakan hala tuju. Saya pun menjawab. Peramah juga pakcik ini. Kalau nak tunggu saya buka mulut bersembang dengan orang yang saya tak kenal, memang agak susah juga.

Bunyi pakcik macam orang Sabah Sarawak saja. Lalu saya pun bertanya.

"Pakcik dari Sabah Sarawak ya?"

"Bukan, saya dari Indonesia. Dari Surabaya"

"Oh, pakcik suku Sunda kah?"

"Tidak. Saya sukunya Jawa"

Perbualan pun makin rancak.

"Adik, burger panggang di depan rumah itu sedap ya?"

"Ya pakcik, sedap. Sebab daging burgernya dibuat sendiri. Besar juga"

"Oh begitu. Tapi mahal kan. Satu burger itu bisa dapat 3 burger OTAI. Haha"

"Hehe"

Terus saya termenung. Pakcik teksi buat perkiraan harga 1 burger panggang boleh dapat 3 burger OTAI. Betul juga. Saya tak pernah berfikir sebegitu. Jika mahukan burger McD bila-bila boleh dapatkan. Tak pernah buat percaturan begitu dan begini.

Sambil menarik nafas dalam-dalam, alhamdulillah di atas segala yang Dia berikan. Pakcik teksi benar-benar membuka mata dan hati. Terima kasih pakcik teksi.

Di Bawah Pohon Rendang.

Rutin harian pergi dan balik ke tempat kerja dah jadi suatu kebiasaan yang menimbulkan rasa selesa. Tolak ke tepi penat memanjat tangga dan bukit. Boleh saja itu menjadi senaman ringkas setiap hari. 

Dengan keselesaan itu, berada di dalam pejabat berhawa dingin, saya bersyukur. Pernah suatu hari ketika hendak pulang ke rumah, mata yang dua ini tertancap pada satu figura. Duduk di tepi jalan, dikelilingi kasut. Khusyuk menggilap sepasang kasut hitam. Tertera di atas sepohon pokok rendang "Klinik Kasut". Haha. Tersenyum saya seorang waktu itu. Ya. Figura itu seorang doktor. Doktor kasut. Kelulusan tinggi tak perlu, hanya experience saja yang penting. Tak perlu bersusah payah mengemaskini resume. Untung bukan? 

Alhamdulillah. Biarlah keringat bermula dan mungkin juga berakhir di tepi jalan di bawah pohon rendang, ia halal. Doktor kasut, berapa ramai yang layak menyandangnya? Executive syarikat, senior engineer mahupun CEO. Kalau kasut kesayangan tapaknya carik, bukankah ke Doktor kasut juga yang dicarinya? Baru saja saya menghantar sepasang kasut pada Doktor kasut untuk dibaiki. Pantas, murah dan kemas kerjanya! 

Tapi kalau hujan, kelibat Doktor kasut tak kelihatan. Ya lah. Klinik beliau hanya berteduhkan sepohon pokok yang daunnya pun tidak dapat menghalang titisan hujan. Saya terfikir, "Terjejaskah punca pendapatan pakcik itu pada hari ini?" Tapi Doktor kasut tetap kembali pada hari esoknya. Menyambung kerjanya merawat kasut-kasut yang dihantar ke kliniknya. Mukanya hitam manis, barangkali kerana sering berada di bawah sinaran matahari terik. Nampak riang, peramah juga. 

Maaf. Gambar diambil melalui kamera telefon saja. 


Hmm. Saya fikir, pakcik itu juga seorang doktor. Saya ni doktor apa pula?