Tuesday, December 11, 2012

Hanya Kerana Tin Kosong

Jam 8 lebih di pagi hari, macam biasa berjalan di tengah bandar. Destinasi; ofis, mana lagi.

Waktu semakin berjalan pantas, saya juga perlu mempercepatkan langkah. Memang dah lambat.

Tapi dalam langkah itu sempat pula ternampak suatu insiden.

Seorang lelaki muda berbangsa Cina menghulurkan satu tin kosong kepada pakcik tukang bersih berbangsa Melayu.

Lelaki Cina senyum. Pakcik Melayu senyum dua kali ganda. Saya senyum juga. Senyum di mulut, senyum di hati. MasyaAllah.

Hanya kerana satu tin kosong boleh menggembirakan tiga jiwa.

Pakcik Melayu boleh menambah kutipan tin kosong untuk dijual kemudian. Dapatlah sedikit rezeki.

Lelaki Cina telah membantu Pakcik Melayu menambahkan kutipannya. Dia telah berbuat baik pagi itu.

Saya? Terubat sedikit hati yang satu ini. Saya sedar. Sungguh, betapa besar kuasaNya. Allah memperlihatkan suatu kejadian yang mungkin kecil, tapi memberi signifikan yang besar buat diri yang kerdil ini.

Nah, bukankah mudah nak menggembirakan seseorang. Biar kecil pun sumbangan atau tenaga, jika ia baik, itulah yang memberikan impak untuk kita.

Alhamdulillah.